Thursday, July 9, 2009

Bergaya sesuai usia?


BAGI Sharifah Shawati, cara berpakaian perlu diadaptasi mengikut kesesuaian masa, tempat dan masyarakat.


Penampilan perlu yakin dengan ambil kira budaya, elak pandangan negatif masyarakat

APABILA wanita berumur tampil bergaya seperti orang muda, khususnya yang memasuki usia 50 tahun ke atas, pasti ramai melemparkan pandangan dengan pelbagai maksud. Sesetengahnya masih boleh menerima dengan terbuka, tetapi tidak kurang juga yang menjuihkan bibir kerana meluat.

Masyarakat sekeliling memang mudah menjatuhkan hukuman apabila ada individu yang ingin tampil berbeza apatah lagi yang bertentangan dengan latar belakang serta budaya. Sesetengahnya mungkin diselubungi rasa ‘cemburu’ kerana kurang senang melihat wanita berumur bergaya mengalahkan si gadis remaja.

Perunding Imej Adamaya Image Consultancy Malaysia yang juga Ahli Pertubuhan Perunding Imej Antarabangsa (AICI), Sharifah Shawati Syed Mohd, berkata tiada masalah wanita bergaya seperti gadis remaja sekiranya mempunyai tahap keyakinan diri tinggi kerana wanita sebegitu percaya bahawa mereka masih mempunyai kelebihan yang boleh ditonjolkan asalkan berasa selesa berbuat demikian.

Lebih-lebih lagi, jika mereka berada dalam persekitaran yang majoritinya tampil dengan gaya sama dan mereka selalunya tergolong dalam kategori kreatif dan gemar berfesyen, namun tidak semestinya apa yang dipakai itu sesuai dengan mereka.

“Terpulang kepada individu itu sendiri kerana ia membabitkan budaya dan cara hidup serta prinsip diri seseorang. Faktor usia dan budaya memainkan peranan dalam menentukan corak pakaian khususnya dalam masyarakat Melayu yang menekankan kesopanan, adat, tatasusila dan sensitiviti agama Islam itu sendiri iaitu pendedahan aurat tidak dibenarkan.

“Pada peringkat umur menjangkau 40-an ke atas, wanita perlu berpakaian lebih tertib dan menghindari daripada masyarakat buruk sangka serta tidak mengganggu perasaan masyarakat sekeliling. Wanita sering diperhatikan berbanding lelaki. Jika tersalah pilih pakaian boleh mengundang tanggapan kurang enak walaupun pada dasarnya ia tidak bertujuan begitu,” katanya.

Beliau tidak menafikan terdapat segelintir wanita tampil dengan gaya berani akibat krisis emosi atau tekanan. Ini mungkin berpunca daripada isu keretakan hubungan dengan suami yang mendorong mereka berpenampilan lebih menarik. Ada juga wanita yang ingin mencuri perhatian lelaki dengan tujuan untuk mencari pasangan.

“Apapun saya beranggapan bahawa wanita berhak melakukan apa saja yang menggembirakan hati asalkan mereka menghormati keadaan sekeliling dan tidak mengganggu ketenteraman orang lain berpandukan situasi yang betul. Apapun wanita perlu lebih berhati-hati bagi mengelak daripada tohmahan dan anggapan negatif yang mungkin timbul akibat pemilihan pakaian yang keterlaluan. Pada saya gaya ringkas adalah paling sofistikated,” katanya.

Beliau berkata, walaupun sesetengah wanita berpegang kepada prinsip bahawa berpakaian adalah hak mereka yang tidak sepatutnya dipengaruhi orang lain, ia masih termaktub berdasarkan situasi berbeza. Ringkasnya, cara berpakaian perlu diadaptasi mengikut kesesuaian masa, tempat dan masyarakat.

Faktor usia juga perlu diambil kira apabila bergaya kerana ia membabitkan perubahan bentuk badan. Apabila umur kian meningkat wanita melalui perubahan bentuk tubuh yang disebabkan oleh graviti dan proses penuaan. Antaranya perut membuncit sedikit, paha dan pinggul hilang keanjalan, manakala payu dara mula mengendur.

“Pada usia 40-an, pemilihan pakaian terbatas kepada yang longgar dan tidak lagi mengikut bentuk badan kerana ingin menutup ‘cabaran tubuh’ berkenaan. Wanita juga harus menyedari semakin berusia, kulit bertukar sedikit gelap dan wanita perlu mengelak daripada menggunakan warna yang terlalu menonjol kerana ia boleh membuatkan penampilan terlalu drastik. Dalam konteks masyarakat Malaysia, wanita berusia sebaiknya memilih pakaian yang versatail dan klasik kerana ia boleh dipakai pada bila-bila masa dan tahan lama.

“Elakkan daripada memakai skirt paras atas lutut atau mini. Pilihlah baju yang berlengan panjang atau separa panjang supaya tampil lebih sopan. Elakkan daripada memakai seluar yang terlalu sendat, hipster atau seluar pendek. Tina Turner masih memakai mini skirt pada usia 50-an, tetapi dia terkenal kerana mempunyai sepasang kaki yang cantik dan sempurna. Jika anda mempunyai kaki yang gempal dan nampak jelmaan selulit, maka tepuk dada tanya selera! Ingat sentiasa serlahkan kelebihan, tetapi tutup kelemahan diri,” katanya.

Pilihan warna sesuai mengikut kulit juga boleh menaikkan seri wajah. Lebih penting, perlu selesa dengan pakaian berkenaan dan orang lain juga selesa melihat anda. Jika anda berasa kurang yakin dengan sesuatu fesyen dan rasa canggung memakainya maka itu adalah tanda ia tidak sesuai lagi untuk anda. Anda boleh berekperimentasi dengan aksesori eksotik atau unik, tetapi perlu mengekalkan pakaian jenis klasik.

Sharifah Shawati adalah usahawan, perunding imej dan penulis buku ‘Imej-Diri Anda Aset Anda’. Beliau boleh dihubungi di www.adamaya.com.my atau layari blog sharifahshawati.blogspot.com

INFO: Panduan gaya Sharifah Shawati

  • Apapun untuk kelihatan lebih muda sebenarnya bermula daripada jiwa yang gembira dan sihat.

  • Lakukan senaman dan amalkan cara hidup sihat. Jangan merokok dan jaga pemakanan yang sihat.

  • Wanita gemuk kelihatan lebih tua daripada mereka yang kurus.

  • Fesyen rambut lurus dan mempunyai sedikit ‘fringe’ akan menampakkan seseorang lebih muda berbanding rambut kerinting.

  • Elakkan memakai pakaian yang terlalu besar, tetapi cukup sekadar mempunyai potongan.

  • Pilih warna ikut kesesuaian kulit untuk naikkan seri wajah.
  • Oleh Halina Mohd Noor halina@bharian.com.my

    1 comment:

    jelly kelapa pandan said...

    sempena nk raya nie,sy ingat nak hadiahkn ibu mertua saya sepasang baju. dia seorg yg rendah,gempal dan kulit gelap. baju mcmner sesuai untuk saya beri? bleh puan tlg saya dan sertakn bebarapa cth baju.. email saya(superb_mcd@yahoo.com). terima kasih:)